Skip to content
Telah dilihat : 11 kali

EKSPO BANDAR MESRA KANAK-KANAK PETALING JAYA 2024: KOMITMEN MBPJ UNTUK GENERASI MUDA

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan generasi muda dengan penganjuran Ekspo Bandar Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya (PJCFC Expo) 2024, yang dirasmikan pagi ini oleh YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya. Acara ini diadakan bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia di Dewan Sivik MBPJ.

Kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan MBPJ dalam usaha membentuk masyarakat yang inklusif dan sejahtera. Sejak tahun 2000, inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak telah dilaksanakan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Petaling Jaya menjadi bandar pertama di Malaysia yang meraih status Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF pada 2023.
Ekspo dua hari ini menjadi platform kerjasama apabila ia menghimpunkan peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk wakil dari negara Jepun, China, Korea Selatan, Indonesia dan beberapa bandar lain di Malaysia. Salah satu tumpuan utama ekspo tahun ini adalah Anugerah Kecemerlangan Bandar Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya yang pertama kali diperkenalkan bagi mengiktiraf usaha individu dan organisasi dalam membentuk persekitaran mesra kanak-kanak selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Ekspo ini melambangkan komitmen berterusan MBPJ dalam menyediakan ruang pembelajaran, permainan, dan pertumbuhan yang inklusif untuk kanak-kanak dan memberi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak.