Telah dilihat : 37 kali
MAJLIS PERHIMPUNAN WARGA KERJA & SAMBUTAN HARI INOVASI MBPJ 2024
PETALING JAYA, 3 Disember 2024 – Majlis Perhimpunan Warga Kerja & Sambutan Hari Inovasi MBPJ 2024 yang dihoskan oleh Unit Komunikasi Korporat telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Dewan Banquet.
Bertemakan “Mendepani Cabaran Inovasi Era Digital,” perhimpunan ini dihadiri oleh 700 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai tanda penghargaan atas jasa, usaha dan pencapaian cemerlang mereka termasuk anugerah serta pengiktirafan yang diraih sepanjang tahun 2024.
YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya dalam ucapannya menyeru seluruh warga kerja agar terus komited memperkasa budaya inovasi di MBPJ. Beliau menegaskan kepentingan memastikan setiap inovasi yang dihasilkan membawa manfaat yang signifikan, bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada MBPJ sebagai sebuah organisasi.
Majlis tersebut turut menyaksikan Pelancaran Buku Pelan Tindakan Inovasi MBPJ 2024-2028 sebagai panduan strategik untuk memacu agenda inovasi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pelbagai pengisian menarik diadakan termasuk pameran Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), perkongsian inovasi oleh Panel Penilai KIK serta pemenang Anugerah Inovasi Negeri Selangor Sektor Awam (AINS-SA), bank idea, dan pencarian kumpulan KIK baharu untuk tahun 2025. Di samping itu, insentif penghargaan turut diberikan kepada Kumpulan KIK yang cemerlang.
Lebih istimewa, majlis kali ini memperkenalkan Pengiktirafan Anugerah Khas Tokoh Inovasi MBPJ 2024, sebuah penghargaan yang julung kali diadakan. Tahniah diucapkan kepada Tuan TPr. Lee Lih Shyan, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan yang telah dinobatkan sebagai penerima anugerah atas sumbangan cemerlangnya dalam bidang inovasi.