Skip to content
Telah dilihat : 31 kali

MAJLIS ANUGERAH USAHAWAN BERPOTENSI PETALING JAYA 2024

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperkasa usahawan tempatan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk penganjuran Majlis Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2024 yang telah berlangsung di Dewan Banquet, MBPJ hari ini. Sesi perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor.

Turut hadir YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Mohd Fauzi bin Maarof, Timbalan Setiausaha Pengurusan MBPJ dan Cik Hanisah binti Haidzir, Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Pejabat SUK Selangor.
Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian usahawan sekali gus mendorong penyertaan lebih ramai usahawan dalam kursus keusahawanan MBPJ. Sebanyak empat (4) anugerah telah disampaikan iaitu Anugerah Ikon Digital, Anugerah Pelan Perancangan Perniagaan Terbaik, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik dan Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2024.
Sejak pelaksanaan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021–2030, MBPJ telah berjaya melatih lebih 4,700 usahawan mikro. Inisiatif ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan apabila ia menyaksikan peningkatan dalam hasil jualan, penambahbaikan kualiti produk serta pengurusan perniagaan yang lebih cekap.
MBPJ menjadi satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor yang menganjurkan program seumpama ini. Bersama MBPJ, kita terus memacu ekonomi komuniti dan merealisasikan aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan.
Untuk menyertai kursus usahawan tahun 2025, pendaftaran boleh dibuat melalui laman Facebook Pembangunan Usahawan MBPJ atau laman web rasmi www.mbpj.gov.my.