Telah dilihat : 61 kali
MBPJ RAIH ANUGERAH EMAS DI ICQCC, SRI LANKA
Colombo, Sri Lanka, 12 November 2024 – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengukir nama di persada antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC), sebuah pertandingan inovasi berprestij yang berlangsung di Colombo, Sri Lanka.
MBPJ diwakili oleh Kumpulan Public Private Partnership for Recycling (3P4R) yang terdiri daripada tujuh peserta, Pn. Siti Nabilahuda binti Zamri, Pn. Premila a/p Theruk Kumaran, En. Wan Muhammad Naim bin Wan Musa, En. Syed Hazmi bin Syed Abu Hassan, En. Keng Zi Xiang, Pn. Noor Shamimi binti Maulad Rahim Ghani dan diketuai oleh TPr. Lee Lih Shyan, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan.
Pengiktirafan ini diperoleh hasil projek inovatif bertajuk "Meningkatkan Keberkesanan Penyertaan Komuniti Dalam Kitar Semula Melalui Kerjasama Awam-Swasta”. Kejayaan ini membuktikan komitmen MBPJ dalam menggerakkan agenda kelestarian dan memperkasa inovasi komuniti.
Usaha inovasi ini digembleng bersama rakan strategik MBPJ iaitu KPT Recycle. Turut hadir En. Mohd Irfan bin Muhammed Azizan dan En. Nasharuddin bin Mohamad Shali selaku Sekretariat Inovasi Majlis.
ICQCC tahun ini menyaksikan persaingan sengit dengan penyertaan 597 pasukan merangkumi empat kategori, termasuk 461 penyertaan dalam kategori Quality Control Circles (QCC). Pertandingan tersebut dihadiri oleh pelbagai negara, antaranya China, Korea, Taiwan, Zambia, Filipina, India, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Thailand, Singapura dan Malaysia.
Untuk rekod, projek ini turut mencatat kejayaan di peringkat negeri Selangor pada tahun 2022 dengan memenangi Johan Kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan), Anugerah Khas Dokumentasi Terbaik, dan Anugerah Khas Projek Hibrid Terbaik di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor.
ICQCC merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal inovasi global untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam usaha mempertingkatkan produktiviti serta inovasi.